top of page
  • fatihahthefirm

Hak-hak Wanita Selepas Perceraian

Updated: Feb 3, 2021

Saya telah mengikuti kes Syed Faris dan Nur Hidayu ini dan sebagai Peguam Syarie saya menasihati agar kaum wanita di luar sana sedar akan hak-hak mereka selepas perceraian.


1. Hak terhadap Nafkah Iddah


- Wanita yang diceraikan berhak mendapat Nafkah tempat tinggal, pakaian, makan dan minum sepanjang tempoh Iddah. Kiraan Nafkah ini diambil berdasarkan pendapatan bekas suami dan kos penginapan (tempat tinggal), pakain serta perbelanjaan makan minum wanita yang diceraikan.


- Contoh: sekiranya wanita tersebut dihalau daripada kediaman, bekas suami wajib mencarikan wanita tersebut rumah sewa/hotel sepanjang tempoh Iddah. Sekiranya bekas suami gagal melaksanakan kewajipan tersebut, wanita yang diceraikan dan telah dihalau boleh mencari tempat lain untuk disewa dan bekas suami hendaklah membayar sewa, bil air dan bil elektrik rumah tersebut.


- Sekiranya tidak dihalau, maka si bekas suami hendaklah membayar bil-bil elektrik, air dan perbelanjaan dapur wanita yang telah diceraikan.


- Tetapi, sekiranya pasangan bersetuju untuk membayar sesuatu jumlah sepanjang tempoh Iddah juga dibenarkan.


2. Hak terhadap Muta'ah


- Ramai yang keliru dan tidak faham berkaitan Muta'ah ni. Muta'ah adalah sagu hati daripada bekas suami kepada bekas isteri sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Tujuan utama Muta’ah adalah bagi membolehkan dan memudahkan si isteri yang diceraikan untuk melangsungkan dan memulakan kehidupan baharu.


- Selalunya kiraan Muta'ah ini diambil berdasarkan sumbangan dan pengorbanan si isteri sepanjang tempoh perlahwinan.


- Contoh: si isteri disuruh berhenti bekerja apabila berkahwin dan beranak sebab mahu menjimatkan perbelanjaan pengasuh. Atau disuruh berhenti bekerja ketika si isteri sedang memegang jawatan tinggi dalam sesebuah syarikat atau organisasi bagi menguruskan rumah tangga dan membolehkan si suami fokus mencari punca pendapatan.


- Makin besar pengorbanan dan makin lama tempoh perkahwinan, makin tinggi Muta'ah yang boleh diminta.


- Diingatkan bahawa jumlah ini akan ditentukan di Mahkamah kelak.


3. Hak terhadap Harta Sepencarian.


- Harta Sepencarian adalah harta-harta yang diperoleh oleh pasangan sepanjang tempoh perkahwinan.


- Kiraan adalah berdasarkan harta yang diperolehi secara bersendirian atau bersama-sama sepanjang tempoh perkahwinan.


- Selain itu, kiraan hendaklah berdasarkan sumbangan secara langsung atau tidak langsung.


- Sumbangan Secara Langsung contohnya: si suami beli rumah secara bersama-sama dengan isteri di mana perjanjian jual beli (S&P) rumah kelamin tersebut terdapat nama si isteri. Contoh lain, rumah dibeli oleh suami loan atas nama suami, S&P rumah tersebut nama suami seorang tetapi ansuran bulanan dibayar oleh isteri, kos renovasi rumah isteri yang bayar, pembelian perabot pun dibayar oleh isteri.


- Sumbangan Secara Tidak Langsung contohnya: si isteri tidak bekerja/suri rumah. Rumah dibeli dan ditanggung sepenuhnya oleh si suami. Dalam senario ini, peranan wanita sebagai caretaker rumah tangga mereka adalah dikira. Selain itu, pengorbanan melahirkan dan membesarkan anak2 dan dengan pengorbanan itu membolehkan suami fokus kepada karier dan boleh mendapat pendapatan yang tinggi. Wanita yang bekerja juga boleh menuntut Harta Sepencarian atas kiraan Sumbangan Secara Tidak Langsung


- Kiraan Sumbangan Langsung dan Tidak Langsung boleh dipakai untuk harta-harta lain seperti kenderaan, tanah dan sebagainya.


4. Nafkah Anak-Anak.


Ini bukan hak bekas isteri tetapi hak Anak-Anak yang dijaga dan tinggal besama bekas isteri. Selalunya bawah 18 tahun. Nafkah Anak-anak terbahagi kepada dua iaitu Nafkah Bulanan dan Tahunan.


- Contoh Nafkah Bulanan: perbelanjaan pengasuh Anak-anak, makan, minum, pakaian dan tempat tinggal, yuran sekolah/taska (swasta selalunya perlu dibayar secara bulanan).


- Contoh Nafkah Tahunan: pakaian Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha, yuran sekolah (Sek Kerajaan) dan sebagainya.


Sekian, semoga bermanfaat.




6 views0 comments

Commentaires


Post: Blog2_Post
bottom of page