top of page
  • fatihahthefirm

PERATURAN, PERANAN DAN BATASAN DI DALAM PERKAHWINAN

Si suami suka keluar rumah, melepak dan balik lewat malam, bermain 'online game' sampai tak ingat dunia. Si isteri pula suka menceritakan isu tidak puas hati terhadap suami kepada ibu bapanya sendiri, rakan sekeliling dan di media.


Ini di antara contoh situasi yang pernah saya kendalikan bersama pasangan berkahwin di dalam sesi kaunseling pasangan. Masing-masing menuding jari terhadap satu sama lain dan menyalahkan pasangan tanpa menyedari bahawa kedua-dua mereka itu terlibat di dalam konflik yang sedang mereka alami.


Tiada istilah siapa salah dan siapa betul kerana apa jua konflik yang berlaku adalah disebabkan oleh suami dan isteri itu sendiri yang bertindak dan berkelakuan sesuka hati mereka. Saya klasifkasikan ia sebagai kitaran sebab-akibat. Sebagai contoh, isteri mengatakan dia mengadu mengenai suami kepada mereka di sekelilingnya kerana dia berasa geram, sedih, seperti dirinya bersendirian dan tidak dihiraukan oleh suaminya.


Hal ini menyebabkan si suami marah kepada isteri dan tidak puas hati dengan sikap isteri yang suka mengadu perihal isu rumahtangga mereka kepada orang lain sehingga menyebabkan perhubungan mereka menjadi serba tidak kena dan berlaku ketidakpuasan hati di antara mereka. Kitaran sebab-akibat ini selalunya akan berulang-ulang di dalam pelbagai situasi yang lain.


Kebiasaan yang saya lihat, konflik rumahtangga berlaku apabila pasangan suami isteri seolah olah tidak menetapkan struktur iaitu peranan, peraturan dan batasan di dalam keluarga mereka. Kelurga yang tiada struktur diibaratkan seperti rumah yang tiada tiang dan perjalanan yang tiada arah tuju. Bahkan, penetapan struktur keluarga yang baik sangat penting dalam membentuk konsep kebersamaan, kerjasama, tolak ansur dan mengurangkan konflik di antara pasangan berkahwin.


Hal ini kerana, konflik atau ujian di dalam rumahtangga semestinya akan berlaku selagi mana kita masih hidup, namun kita juga mempunyai pilihan untuk menghadapi konflik itu dengan cara yang bagaimana. Sekiranya perhubungan rumahtangga kita didasari oleh struktur keluarga yang terdiri dari peraturan, peranan dan batasan yang sihat, ianya boleh membantu kita menangani konflik yang dialami itu dalam keadaan yang lebih baik, kerana kita akan berbalik semula dan peka kepada struktur yang telah dibuat.


Kaedah yang boleh digunakan oleh pasangan berkahwin adalah berbincang bersama pasangan untuk menentukan struktur keluarga iaitu peraturan, peranan dan batasan sebagai sebahagian daripada penyesuaian dalam rumahtangga. Struktur keluargam boleh dibuat berpandukan kepada matlamat atau identiti keluarga yang diidamkan seperti yang disebut dalam perkongsian saya yang lepas. Peraturan adalah perkara dan tingkah-laku yang dipersetujui bersama oleh pasangan. Sebagai contoh peraturan, “Kita mesti makan bersama sekurang-kurangnya pada waktu makan malam”, “Apabila kita berkomunikasi, kita harus mengelakkan dari mengungkit isu-isu lama dan perlulah berbicara dengan nada rendah”.


Peranan pula adalah tangunggjawab dan tugas spesifik yang dilaksanakan oleh suami dan isteri mengikut persetujuan bersama. Sebagai contoh, isteri berperanan untuk menguruskan kerja rumah di dalam rumah, manakala suami pula menguruskan kerja rumah di sekitar halaman rumah. Untuk yang terakhir, batasan adalah sempadan atau had yang digunakan dalam setiap aspek kehidupan termasuk batasan dalam perhubungan rumahtangga. Pasangan berkahwin haruslah menetapkan batasan yang sihat dan jelas iaitu tidak memberi kemudaratan kepada kedua pihak dan dipersetujui bersama.


Sebagai contoh batasan yang sihat, “Kita tidak boleh menceritakan hal rumahtangga kepada sesiapa sahaja yang kita mahu kecuali ianya berkeperluan seperti kepada pakar profesional yang boleh memberi bantuan”, "Kita harus mendapatkan persetujuan dan keizinan bersama untuk membenarkan rakan atau ahli keluarga untuk berkunjung ke rumah pada suatu waktu tertentu dengan mengutamakan privasi masa kita berdua".


Penetapan struktur keluarga ini mungkin berbeza ataupun mempunyai persamaan di antara setiap pasangan berkahwin. Ianya tidak menjadi isu selagi mana struktur itu bersesuaian dengan pasangan tersebut. Namun, ianya boleh berubah dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kemampuan pasangan berkahwin. Sekiranya pasangan merasakan penetapan peraturan dan batasan yang sedia ada sudah tidak sesuai digunakan pada suatu keadaan atau jangka masa tertentu, mereka perlu mengambil langkah berbincang untuk menetapkan struktur keluarga yang baru.


Di antara contoh ketara yang memerlukan kepada penetapan struktur keluarga yang baru adalah apabila berlaku perubahan pada kitaran hidup keluarga, iaitu daripada kehidupan berdua kepada adanya anak kecil mahupun anak meningkat remaja di dalam keluarga. Semestinya gaya hidup suami isteri tersebut akan berubah untuk memenuhi keperluan perkembangan anak kecil dan anak yang memasuki fasa remaja. Peranan, tanggungjawab dan batasan sebagai pasangan berkahwin dan ibu bapa juga akan berubah di dalam struktur keluarga yang baru.


Oleh itu, jadilah kita suami mahupun isteri yang sentiasa bersikap terbuka, positif dan fleksibel di dalam perkahwinan serta berkomunikasi dengan baik dalam menetapkan struktur keluarga sendiri. Penetapan struktur ini harus dibuat bersama-sama, dengan menzahirkan keberadaan kita di dalam perkahwinan, tanpa biarkan pasangan kita merasa mereka bersendirian di dalam sesuatu perkahwinan itu.


Berilah kerjasama yang baik dan tunjukkanlah kesungguhan kita untuk memperoleh keluarga yang sejahtera. Kita sebolehnya harus sentiasa bersedia untuk melakukan perubahan terhadap struktur keluarga yang sedia ada kepada yang baru untuk mengelakkan berlaku konflik ketidakpuasan hati yang berpanjangan serta menggalakkan perhubungan mesra, interaksi yang efektif akan berterusan di antara suami isteri.



Disediakan oleh:

Nur Amalina Binti Abd Laziz

Kaunselor di Tetuan Fatihah Salahuddin


16 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page