top of page
  • fatihahthefirm

PENYESUAIAN DIRI DALAM PERKAHWINAN

Kita kadang kala terfikir sendiri ‘ kenapa la pasangan aku suka buat begitu begini, kenapa cara pasangan aku berkelakuan tak sama dengan apa yang aku biasa buat dengan keluargaku, kenapa tak sama dengan apa yang aku nak dan apa yang aku jangka’? Kita tak suka dan tak puas hati. Tup tup bila kita dah tak tahan, hati dah meletup, terus kita ke Mahkamah failkan kes untuk bercerai.


Kenapa boleh jadi sampai macam tu dan apa yang kurang dalam sesuatu perkahwinan itu?

Perkahwinan itu terjadi antara dua individu, lelaki dan perempuan yang sememangnya mereka datang dari latar belakang keluarga yang berbeza. Perbezaan ini boleh dilihat mungkin dari segi cara berinteraksi, penerapan nilai dan budaya, cara memberi respon, bertingkah laku dan sebagainya.


Perbezaan ini harus dirai dan diterima oleh pasangan berkahwin kerana secara logiknya kita masing-masing sudah terbiasa dengan cara kita hidup dan dibesarkan semenjak dari kecil. Bahkan, kalau kita sedar ia adalah suatu perkara yang menarik untuk kita mengenali, meneroka pasangan serta ahli keluarganya dan pada saya, perbezaan yang ada pada pasangan kita itu sebenarnya yang melengkapkan apa yang kurang pada diri kita.


Dengan penerimaan tersebut, pasangan berkahwin harus membuat perubahan dengan menyesuaikan diri terhadap perubahan besar menjadi isteri atau suami. Penyesuaian diri adalah proses yang berpanjangan, yang mana kita harus membuat perbezaan kendiri iaitu sentiasa membezakan diri kita yang sudah berkahwin daripada keluarga asal kita.


Kita semestinya masih perlu berhubung dengan keluarga asal kita, namun kita harus tahu untuk hidup lebih berdikari bersama pasangan dengan membuat keputusan dan menyelesaikan masalah bersama pasangan dan menghindari adanya campur tangan dari keluarga asal. Kalau sekadar hendak menerima dan mendengar pendapat orang tua kita itu boleh sahaja asalkan ia tidak mempengaruhi emosi kita. Bawa lah personaliti yang baik dan sesuai ke dalam rumahtangga, serta bina identiti keluarga sendiri.


Justeru, setiap pasangan berkahwin harus membina identiti keluarga sendiri berdasarkan kepada ciri dan matlamat keluarga bagaimana yang mereka impikan dan ingin dicapai. Kaedah praktikal yang boleh dilakukan oleh pasangan berkahwin adalah berbincang dengan pasangan masing-masing, dengan mengutarakan matlamat diri sendiri sebagai isteri atau suami dalam perkahwinan, langkah-langkah untuk mencapai matlamat diri sendiri tersebut. Seterusnya melibatkan matlamat bersama yang mana mungkin kita idamkan sebuah keluarga Islam kontemporari dan paling utama, langkah-langkah untuk mencapai matlamat bersama tersebut. Matlamat tersebut haruslah spesifik, realistik dan mampu dilaksanakan oleh suami dan isteri.


Analogi yang saya suka gunakan perihal pembentukan identiti keluarga adalah, daripada keluarga A, iaitu keluarga asal suami dan keluarga B , iaitu keluarga asal isteri, kita akan jadikan keluarga C, iaitu keluarga baru antara suami dan isteri yang baru atau sudah lama berkahwin. Keluarga C yang baru ini boleh terhasil dari matlamat bersama yang dipersetujui dengan mengikut acuan kita sendiri.


Kita boleh juga mengambil kira matlamat atau acuan yang bagus dari keluarga asal masing-masing untuk membantu membentuk identiti keluarga kita sendiri. Sekiranya kita merasakan cara yang dahulunya digunakan dalam keluarga asal kita itu kurang sesuai dan tidak begitu bagus digunakan, kita boleh mengambil langkah dengan menambah baik acuan itu di dalam keluarga baru kita dengan pasangan.


Penyesuaian dalam perkahwinan adalah salah satu kunci utama dalam kehidupan rumahtangga yang gembira. Dengan adanya penyesuaian diri yang baik, mudahan dapat menjadikan kita manusia yang selalu bersyukur dan berpuas hati dengan perkahwinan kita sendiri.


Oleh: Nur Amalina Abd Laziz Kaunselor Panel, Tetuan Fatihah Salahuddin


99 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page