top of page
  • fatihahthefirm

KENALI & FAHAMI PASANGAN DENGAN 5 BAHASA CINTA

Setiap dari kita akan mengekspresikan perasaan cinta dan kasih kepada pasangan mengikut cara tertentu. Begitu juga yang dilakukan oleh pasangan kita. Bila mana cara tersebut ditunjukkan kepada pasangan, mereka akan rasa dihargai dan disayangi.

Cara tersebut dikenali sebagai bahasa cinta. Namun, harus kita ketahui, bahasa cinta, iaitu perbuatan atau cara kita menunjukkan kasih sayang kepada pasangan dan menerima kasih sayang daripada pasangan mungkin sama ataupun berbeza antara suami dan isteri.

Kata si isteri, “Suami saya tak macam suami orang lain. Selalu cakap “I Love You”. Suami saya tu tak romantik langsung. Pegang saya pun taknak! Suami saya mana nak tolong saya buat kerja. Suami saya kadang-kadang ingat tarikh penting kami, kadang-kadang tak! Hadiah memang lagi la jarang nak beri! Suami saya asyik outstation je sampai tak ada masa pun dengan saya dan anak-anak”.

Kata si suami, “ Isteri saya manja sangat, susah nak jaga hati. Nak selalu dipegang disentuh, nak kena cakap “I Love You”, minta tolong buat kerja rumah la itu la ini la, nak terima hadiah selalu. Lepas itu nak kita selalu duduk di rumah dengan dia. Mana boleh! kadang-kadang saya tak faham dengan isteri saya ni!” Senario di atas sering kali menjadi isu kurang pemahaman di antara pasangan berkahwin. Ianya disebabkan oleh pengaplikasian bahasa cinta yang tidak jelas di antara suami dan isteri.

Menurut Dr Gary Chapman, terdapat lima bahasa cinta yang ada pada diri setiap insan secara umumnya. Kita perlu mengetahui bahasa cinta yang dominan dan utama di dalam diri terlebih dahulu, sebelum kita mengetahui bahasa cinta pasangan kita. Justeru, kita memberi apa yang disukai oleh pasangan dan kita menerima apa yang kita suka daripada pasangan. Lima bahasa cinta tersebut adalah;

1. QUALITY TIME

-Individu mempunyai bahasa cinta ini sukakan masa berkualiti bersama pasangan, di mana perhatian dan fokus diberikan kepada dirinya. Masa yang berkualiti juga adalah apabila seseorang itu ada bersama pasangannya secara fizikal dan mental. Sebagai contoh, individu ini suka duduk bersama pasangan di sofa menonton televisyen, berbual, dan meluahkan perasaan kepada satu sama lain. Individu merasa diri mereka dihargai apabila pasangan akan memperuntukkan masa yang berkualiti bersamanya tanpa ada sebarang gangguan yang lain.

2. WORDS OF AFFIRMATION

-Individu dengan bahasa cinta ini merasa

kan diri mereka dicintai apabila mereka menerima kata-kata yang baik, kata penghargaan mahupun pujian daripada pasangan mereka. Kata kata yang diucapkan itu mungkin kedengaran biasa bagi orang lain, namun ianya sangat bernilai dan dinanti-nantikan oleh individu miliki bahasa cinta ini. Contohnya, kita mengucapkan “I Love You”, Terima kasih sebab tolong saya, sediakan saya pakaian dan makanan”, “Awak sangat cantik atau kacak”.

3. ACT OF SERVICES

-Dengan menghulurkan pertolongan dan meringankan beban kerja, bererti individu tersebut menunjukkan perasaan kasih dan sayang terhadap pasangan mereka. Mereka yang memiliki bahasa cinta ini akan rasa dihargai apabila dibantu dari segi kerja rumah, kerja urusan peribadi dan lain-lain kerja. Sebagai contoh, kita membantu pasangan dengan mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk, membuang sampah, serta menjaga anak kecil.

4. RECEIVING GIFTS

-Tidak kira kecil mahupun besar nilai harga sesuatu pemberian hadiah itu, individu dengan bahasa cinta ini akan merasa dirinya begitu disayangi apabila menerima pemberian hadiah daripada pasangan. Sebagai contoh, suami memberikan coklat dan bunga sewaktu ulang tahun perkahwinan mereka dan pada hari lahir isterinya. Isteri merasakan pemberian itu cukup bermakna bagi dirinya yang sentiasa diingati oleh suami.

5. PHYSICAL TOUCH

-Ia lebih merujuk kepada sentuhan kasih sayang berbanding sentuhan seksual semata-mata. Contohnya, perbuatan fizikal seperti berpegangan tangan dan pelukan mesra bagi beberapa saat dapat mengalirkan emosi pasangan ke dalam hati masing-masing. Individu dengan bahasa cinta ini akan merasa gembira dan sangat bahagia apabila pasangan mereka hanya memeluk dan memegang tangannya. Ia juga dapat membantu menghangatkan rasa cinta di antara suami isteri.

Pasangan berkahwin akan mengekspresikan cinta dan menerima cinta melalui kelima-lima bahasa cinta tersebut. Kelima-lima bahasa cinta itu harus ada dan seimbang di dalam setiap perkahwinan. Namun, kita harus menitikberatkan kepada aplikasi satu bahasa cinta yang paling dominan, disukai oleh pasangan terlebih dahulu supaya mereka betul-betul rasa disayangi, dihargai dan hati mereka akan terbuka kepada penerimaan bahasa cinta yang lain.


Oleh itu, empat bahasa cinta yang lain boleh diaplikasi dengan sewajarnya. Bahasa cinta untuk setiap individu ini boleh diketahui melalui pembacaan buku perihal lima bahasa cinta ini, membuat pemerhatian terhadap bahasa cinta yang dimiliki oleh pasangan secara jelas mahupun bertanya terus kepada pasangan tentang bahasa cinta mereka.


Kita juga boleh menjawab ujian kaji selidik “profil peribadi bahasa cinta” untuk mengetahui bahasa cinta diri dan pasangan. Justeru, ia boleh memupuk sikap menyayangi dan mengenali pasangan dengan lebih mudah dan praktikal. Penuhilah keperluan bahasa cinta diri dan pasangan dengan baik.

Disediakan oleh: Nur Amalina Binti Abd Laziz Kaunselor di Tetuan Fatihah Salahuddin




242 views0 comments

Comentários


Post: Blog2_Post
bottom of page