top of page
  • fatihahthefirm

HAK PENJAGAAN ANAK

Anak-anak Mangsa Perpisahan Suami & Isteri?


Sebagai seorang Peguam Syarie, saya melihat ini sebagai momokan terhadap pasangan yang ingin bercerai dan pada akhirnya, hasrat si isteri terbantut kerana tidak sanggup melihat anak-anak membesar tanpa figura seorang bapa.


Bagaimana pula keadaan sekiranya seorang suami itu kaki pukul dan suka mendera isteri secara emosi, mental dan fizikal? Dan bagaimana pula figura bapa seorang kaki pukul dan kaki dera boleh diterima dalam pembesaran kanak-kanak?


Tidak masuk akal bukan?


Adakah Mahkamah mampu untuk memahami situasi yang dialami oleh seorang isteri yang didera dan seorang ibu yang bimbang akan keselamatan serta kebajikan anak-anak sekiranya penjagaan anak di bawah jagaan bapa?


Pertama, perlu ingat bahawa Mahkamah perlu bersifat adil dan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk didengari. Di sinilah tugas pihak-pihak untuk membuktikan keterangan masing-masing dan disokong oleh bukti-bukti dokumen & keterangan saksi-saksi.


Kedua, berdasarkan bukti-bukti dan keterangan pihak-pihak serta saksi, perkara pertama yang akan menjadi pertimbangan Mahkamah adalah kebajikan dan keselamatan anak-anak. Di bawah jagaan siapakah kebajikan dan keselamatan anak-anak lebih terjaga.

Contoh: Si Bapa mahu hak jagaan anak, tetapi persekitarannya tidak mecerminkan kesesuaian untuk anak. Sekiranya bapa pergi kerja, siapakah yang akan jaga anak tersebut? Rumah yang didiami oleh bapa sesuai dan selesa atau tidak untuk anak-anak. Kalau rumah yang didiami hanya mempunyai satu bilik manakala, anak-anak ada 4 orang lelaki dan perempuan.


Kemudian, sekiranya Si Bapa mempunyai rekod jenayah seksual dan mempunyai seorang anak perempuan kecil. Si Ibu mempunyai alasan dan sebab yang wajar untuk menyatakan kebimbangan beliau.


Bagaimana pula status dan keadaan anak-anak sekiranya Kes Hak Penjagaan Anak (Hadhanah) telah difailkan di Mahkamah dan sedang dalam perbicaraan?


Di sini, Si Ibu boleh memfailkan Permohonan Interim (sementara) Penjagaan Anak sementara menunggu kes Hak Jagaan Anak (kes induk) selesai.


Apakah jenis permohonan yang boleh dimasukkan di bawah kes Hak Jagaan Anak?


1. Hak Jagaan Penuh (ibu) Tanpa Bermalam (bapa) 2. Hak Jagaan Penuh (ibu) dengan Bermalam (bapa) 3. Hak Jagaan Penuh (ibu) dengan Hak Lawatan Tanpa Pengawasan (bapa) 4. Hak Jagaan Penuh (ibu) dengan Hak Lawatan dengan Pengawasan (bapa) 5. Hak Jagaan Bersama


Kena ingat dalam kes Hadhanah, tidak wujud istilah "aku layak, kau tak layak". Pihak yang layak adalah pihak yang dapat buktikan di Mahkamah bahawa dia dapat menjamin kebajikan serta keselamatan anak dengan terbaik.


"THE WELFARE OF THE CHILDREN IS THE KEY".



1 view0 comments

Comentarios


Post: Blog2_Post
bottom of page