top of page
  • Writer's pictureNur Amalina

ADA APA DENGAN KAUNSELING PERKAHWINAN?


Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri yang mengharungi hidup berumah tangga.


Dalam hubungan antara suami dan isteri, ujian perselisihan adalah satu kemestian dan tidak dapat tidak, sukar untuk kita elak. Kerananya, suami isteri itu datang dari dua latar belakang yang berbeza cara dan pandangan tentang sesuatu perkara. Senang kata, nak dapatkan kata sepakat tu, boleh perang dunia dulu la kan.


Tapi alangkah sayangnya, bila masing-masing suami dan isteri itu tidak mahu mengalah, berbincang atau tetap mahu tunjukkan ego, mereka ambil langkah mudah dengan failkan penceraian ataupun suami lafazkan cerai di luar mahkamah.


Dalam Islam, penceraian itu sesuatu yang tidak disukai oleh Islam tetapi memang dibolehkan dengan alasan dan sebab-sebab tertentu yang dikatakan memudaratkan diri kita.


Sebelum kita dah ada keinginan dan ada keputusan untuk bercerai, dapatkanlah khidmat kaunseling perkahwinan terlebih dahulu. Cuba perbaiki dahulu mana yang perlu melalui sesi kaunseling. Biar kita sendiri rasa berusaha bersungguh-sungguh untuk baiki perhubungan, yakin dan selebihnya tawakkal dengan bermohon petunjuk dari Allah untuk beri kita suatu keputusan yang baik untuk diri, keluarga, agama dan supaya keputusan kita itu tidak mengikut emosi semata.


Jika kita fikir perkahwinan kita dalam masalah dan di luar kawalan, jangan tunggu lagi. Dapatkan bantuan kaunseling perkahwinan secepat mungkin. Makin ditunggu, memang makin parah dan boleh jejaskan kesejahteraan kesihatan fizikal & mental kita.


Dalam sesi kaunseling perkahwinan, ia merupakan sesi antara kaunselor dan pasangan dalam menyelesaikan permasalahan rumahtangga. Kebiasaannya, kaunselor akan mendengar pernyataan isu dari kedua-dua pihak suami dan isteri secara adil tanpa ada berat sebelah. Daripada pernyataan masalah tersebut, kaunselor akan membuat eksplorasi, penilaian isu dan memberi diagnosis kepada permasalahan pasangan. Seterusnya, kaunselor perkahwinan akan menawarkan khidmat rawatan yang diperlukan pasangan melalui diagnosis yang dibuat.


Sertai sesi kaunseling bukanlah untuk mencari salah isteri atau suami, bahkan ia mengingatkan pasangan bahawa kedua-dua suami isteri terlibat dan saling mempengaruhi antara satu sama lain di dalam sesuatu isu yang berlaku dalam rumahtangga mereka. Jadi, melalui sesi, kita nak mencari atau menemukan semula titik persefahaman dan persetujuan di antara kedua mereka daripada konflik yang terjadi. Kaunselor akan cuba untuk memberi pemahaman terhadap permasalahan dan struktur keluarga pasangan tersebut.


Ada juga pasangan berkahwin yang datang sendiri untuk jumpa kaunselor perkahwinan sebab mereka ini dah rasa ‘loss’, ‘stuck’ dan mereka sendiri yang serah diri untuk kaunselor bantu memperbaiki mana yang patut dan mempertingkatkan hubungan rumahtangga mereka. Senang kata, tak perlu tunggu ada konflik yang besar dahulu, baru nak jumpa kaunselor kan.


Selalunya, kaunselor akan memberi fokus kepada peranan pasangan, corak perhubungan dan matlamat yang ingin dicapai dalam perkahwinan. Sesi kaunseling ini membantu pasangan menangani masalah perhubungan dengan cara yang lebih efektif. Pasangan suami isteri dilatih untuk belajar memahami, mengubah corak komunikasi dan mengamalkan pendekatan yang baru dan lebih berkesan dalam menangani masalah perkahwinan berbanding yang mereka amalkan sebelum ini, ke arah kehidupan yang sejahtera.


Perubahan tingkahlaku oleh suami atau isteri juga mungkin harus dibuat, iaitu bergantung kepada keperluan isu pasangan. Ianya diikuti dengan pengukuhan perubahan tingkahlaku yang dilakukan dan kaunselor memberikan psikopendidikan tentang pembinaan rumahtangga, keluarga dan keibubapaan yang lebih baik dan harmoni.


Haa, menarik bukan? Daripada kita pergi cerita dekat keluarga, kawan-kawan sekeliling sahaja kan, lagi baik kalau jumpa kaunselor perkahwinan professional yang sememangnya boleh bantu.


Tunggu apa lagi tu? Jom la tempah sesi kaunseling anda sekarang.

Disediakan oleh,

Nur Amalina Abd Laziz

Kaunselor di Fatihah the firm



404 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page